estellex.com: Insiden pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang memakai jersi memaparkan bendera Malaysia

Insiden Jalur Gemilang terbalik kesilapan ketara, kecuaian kritikal – Fahmi

Posted by

estellex.com: Insiden pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia yang memakai jersi memaparkan bendera Malaysia secara terbalik pada perlawanan pertamanya di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, tiga hari lalu satu kesilapan yang ketara.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata biarpun pemain ranking lapan dunia itu mengemukakan permohonan maaf, namun kesilapan itu disifatkan sebagai kecuaian kritikal.

Bagaimanapun beliau meminta masyarakat memberikan ruang supaya siasatan dapat dijalankan oleh pihak berkuasa.

Baca Juga : Soal Kenaikan Gaji Guru, Kemendikdasmen: Wewenang Kementerian Lain

“Kita perlu sentiasa bersederhana dan biar pihak berkuasa ambil tindakan. Saya mengambil maklum di pihak Lee Zii Jia telah ada permohonan maaf.

“Pada saya itu satu kesilapan ketara, baju yang akan dipakai oleh pemain yang cukup dikenali dan mewakili negara membawa bendera Malaysia. Saya anggap itu satu kecuaian yang kritikal. Kita ambil maklum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja meninjau tapak projek Prove of Concept (POC) Tarana di Dewan Masyarakat Kampung Seri Bunian, di sini, hari ini.

Namun setakat ini, Fahmi memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung komen menyentuh sensitiviti mengenai perkara itu.

“Sekiranya ada siasatan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

“Nasihat saya dalam mana-mana kes sekalipun pengguna internet, media sosial berpada-pada meletakkan komen, kadang kala komen boleh disalah erti dan kita tidak mahu ada satu keadaan dia mengapi-apikan.

“Biarlah kita ambil tindakan bersesuaian, kita nak situasi seperti ini tidak berulang itu yang kita harapkan,” katanya.

Terdahulu, Zii Jia dihimpit kontroversi apabila dengan jelas di kaca televisyen, pemain itu memakai jersi dengan Jalur Gemilang ditampal di bahagian kiri baju dalam keadaan terbalik.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan berkata pihaknya akan merangka satu kod baharu berkaitan etika pemakaian atlet termasuklah membabitkan penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian mereka.

Beliau berkata langkah itu bagi mengelakkan insiden sama berulang membabitkan penggunaan Jalur Gemilang termasuk yang terbaharu membabitkan Zii Jia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *